iklan. Jangan klik hahaha...

Penghujung Raya Dan Penghujung Usia


Sejak dari subuh lagi bini aku dok membebel. Bil api dan air belum bayar. Tak banyak,cuma dah nak masuk 3bulan. Malas aku nak ke pekan bayar bil tiap-tiap bulan. Kumpul untuk 3 bulan baru bayar.

Bulan ni terlupa dan sibuk melayan cucu-cucu yang balik beraya. Kusyen motor honda cup aku,entah cucu mana yang bakar dengan bunga api. Separuh getah dah terbakar. Berlubang, hujan masuk airlah nanti. Tem
payan lama yang letak ditepi rumah juga pecah berderai, selepas cucu-cucu aku main ultraman dan raksasa.


Itu belum kira, anak-anak benih pokok buahan yang aku tanam kat belakang rumah. Habis dicabut, dipijak dan dipatahkan. Itu kerja cucu-cucu perempuan main masak-masak, lepas mereka kata "jom angah,shoping sayur kat Tesco". Rupanya benih-benih yang aku semai jadi sayur.

Sekarang terasa sunyi, bila mereka semua dah balik ke bandar tempat kerja masing-masing. Keriuhan cucu-cucu dan suara anak-anak dah tak ada. Kedengaran hanya suara bini aku yang membebel didapur tidak jelas biji butir percakapannya.

Dulu,setiap kali balik raya. Anak-anak ada hulurkan duit. Sekarang tidak lagi. Yang ada cuma anak yang bongsu, bagi RM50 seorang. Tu pun dia berkeras nak bagi. Dia baru kerja dan baru beberapa bulan ambil kereta. Anak-anak yang dah kahwin mengeluh dengan sara hidup yang tinggi dibandar. Nak bagi makan pakai anak bini, pampers, bil itu ini. Ansuran kereta dan bermacam lagi.

Aku tak harap pun duit dari diorang. Makan pakai aku cukup, mereka balik pun kira dah ok. Beberapa bulan ni, masa akhir Ramadhan,batuk aku menjadi-jadi. Aku berhenti hisap rokok daun yang aku bawa kemana-mana. Batuk ni luarbiasa seakan jantung dan peparu aku seakan luruh dari badan.

Agaknya bila umur dah nak masuk 80 mungkin badan dan organ lemah. Penyakit orang tua. Anak-anak jarang nak balik tanya khabar kalau bukan raya. Balik pun sibuk dengan hal masing-masing. Berebut dengan bini ajak balik ke rumah mertua.

Harapnya raya tahun depan aku masih sempat tengok anak-anak, bermain dengan cucu-cucu. Motor terbakar ke, benih habis mati ke, aku tak kisah semua itu. Gelak tawa cucu-cucu mengingatkan aku pada anak-anak semasa kecil. Sebelum mereka berhijrah ke bandar meninggalkan aku dengan bini dikampung.



0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...