DIKATAKAN hubungan seks mampu mengubati apa jua
penyakit yang singgah ke tubuh. Malah, kenyataan ini mulai dipersetujui
oleh penyelidik-penyelidik perubatan. Kata mereka, aktiviti seks yang
teratur berupaya memperbaiki peredaran darah, menghalang penyakit dan
berkemungkinan besar meningkatkan tahap imunisasi badan.
Begitu juga dari sudut emosi. Dipercayai, wanita-wanita yang cukup puas
mendapat keperluan jasmani kurang berhadapan masalah tekanan perasaan
malah memiliki daya keyakinan diri yang tinggi selain penampilan
keseluruhan yang lebih positif. Sebenarnya, apa yang dinyatakan itu
hanya sebahagian daripada keseronokan mengadakan hubungan asmara. Ada
beberapa keistimewaan melakukan seks selepas berkahwin.
Wajah berseri
Tidak dinafi, kebanyakan wanita berkongsi pendapat yang sama iaitu
hubungan seks yang dilakukan secara teratur mampu membuatkan kulit
menjadi lebih mulus dan bersinar malah jelita. Benarkah begitu?
Dikatakan, kebangkitan fizikal tidak hanya meningkatkan peredaran darah
sebaliknya berupaya menaikkan paras estrogen yang berfungsi untuk
mengekalkan kulit wajah yang berminyak dan lembut. Dalam masa yang sama,
ia juga membuatkan rambut kelihatan lebih lebat dan sihat.
Bentuk tubuh yang menarik
Letih bersenam di gimnasium atau penat berdiet semata-mata untuk
mendapatkan tubuh badan yang cantik? Sebenarnya, terdapat cara yang
lebih mudah untuk merealisasikan impian anda itu.
Cukup hanya di rumah dan banyakkan belajar dari suami ketika mengadakan
hubungan kelamin. Masih tidak faham? Sebenarnya, ketika anda melakukan
seks, anda sebenarnya sedang bersenam tetapi gaya senaman yang dilakukan
lebih menyeronokkan kerana saling bekerjasama.
Seseorang yang mempunyai kehidupan seksual yang lengkap dan teratur
secara automatiknya memiliki daya keyakinan diri yang tinggi lantaran
merasakan senaman tersebut serasi dengan tubuh.
Hilangkan lenguh-lenguh badan
Letih bermain badminton belum hilang ditambah pula dengan rasa
sengal-sengal badan. Mungkin kerana lama tidak bersukan jadi ada sahaja
urat-urat yang bersimpul dileraikan. Lazimnya, khidmat tukang urut
diperlukan tetapi dalam hal ini, pasangan adalah ‘doktor’ yang paling
hebat.
Cari waktu yang menarik untuk berdua-duaan dengan pasangan dan nikmati
keseronokan tanpa gangguan daripada anak-anak. Pasti kesakitan yang
ditanggung itu mampu dipulihkan setelah hubungan seks dilakukan.
Kenapa? Ini kerana setiap kali hubungan kelamin berlangsung, sejenis
hormon yang dinamakan endorphin telah dikeluarkan yang mana ia adalah
ubat penahan sakit secara semula jadi yang dikeluarkan oleh tubuh.
Malah, penulis buku “The Healing Power of Sex” menjelaskan bahawa
sekali orgasma mampu menjauhkan seseorang dari sakit selama enam jam.
Kitaran haid yang teratur
Menurut Winnifred Cutler, pengarang buku “Love Cycles”, wanita yang
mengadakan hubungan seks setiap minggu mudah menjangkakan kedatangan
haid berbanding wanita-wanita bujang atau kurang melakukan hubungan
kelamin dengan pasangan.
Ini kerana, wanita yang mempunyai pusingan haid yang teratur lebih
mudah menjangkakan bila waktu suburnya. Jadi, dengan mudah keduanya
merancang untuk memiliki cahaya mata setelah mengetahui waktu penting
tersebut.
Dipetik dari Majalah mingguan Wanita Edisi Terbaru
0 comments:
Post a Comment