iklan. Jangan klik hahaha...

Rumit Dan Leceh Berurusan Dengan Perempuan?

Dua cerita ini saya jumpa di internet. Yang pertama: Seorang suami dalam perjalanan balik dari tempat kerja, singgah di kedai makan dan hubungi isterinya: “Sayang, abang kat kedai makan ni, awak nak pesan apa-apa tak?”

Lalu dijawab oleh isteri: “Abang, bukankah abang selalu komplen isteri abang ni dah chubby la, macam-macam... jadi tak payahlah belikan saya apa-apa. Saya nak jaga badan, tak mahu lagi
makan malam.”

Si suami pun terus balik tanpa beli apa-apa. Sampai di rumah, tiba-tiba isterinya tarik muka apabila melihat suaminya melenggang kangkung tanpa bawa apa-apa. “Abang tak beli apa-apa
ke untuk saya?” katanya.

“Lhaa, dah tadi saya tanya awak cakap tak nak apa-apa, saya tak belilah. Kalau beli, awak tak makan nanti membazir pulak, awak juga yang membebel nanti,” balas si suami.

“Yalah, memang saya cakap tak mahu makan tapi abang tu, belilah sikit, boleh kunyah-kunyah sambil tengok TV. Takkan tak faham dah bertahun-tahun kahwin,” kata si isteri.

Tidak mahu panjangkan cerita, si suami walaupun dalam keadaan penat yang teramat sangat cuba mengalah: “Tak apalah kalau macam tu, dah awak nak makan, nanti saya keluar belikan."

“Dah sampai nak keluar-keluar pulak abang ni, saja la tu nak ambil peluang melepak. Dah, tak payah, saya tak mahu makan pun,” kata si isteri.

Dalam cerita yang kedua, seorang suami lain ketika bersiap-siap nak tinggalkan pejabat, telefon isterinya: “Sayang, awak masak apa hari ni? Jawab isterinya: “Penat sangatlah bang, dari pagi sampai petang macam-macam kerja kena buat. Kemas rumah, dah siap kemas, budak-budak ni sepahkan balik. Kena kemas semula. Kain baju pun menimbun kena cuci hari ni ...”

Dengar rungutan isterinya, si suami buat kesimpulan, isterinya tidak masak dan dia kena singgah makan di kedai. Lepas makan, dia balik. Sampai di rumah, dilihatnya hidangan sudah siap di meja, malah nasi pun sudah dalam pinggan.

Isterinya pula dengan muka manis tersenyum mempelawa penuh sopan: “Duduklah bang, nanti sejuk pula nasi lauk ni.” Bayangkan jika anda berada dalam situasi ini, apa reaksi anda?

Menolak, alamatnya akan jadi telenovela berjela-jela yang pengakhirannya mungkin ‘armageddon’. Maklumlah selepas si isteri susah payah siapkan hidangkan, tiba-tiba kita menolak apabila diajak makan. Nak makan juga, perut sudah membusung macam labu sayung.

Akhirnya mahu tak mahu, kenalah juga dijamah sedikit. Oleh kerana sedikit, disoal juga, "tadi dah makan ke? Makan dengan siapa?" Itulah barang kali sebabnya ramai lelaki apabila umur cecah 40an, ramai yang berpenyakit – sebab stres dan terlebih makan.

Di luar, sudah ‘bedal’ beriyani gam. Balik rumah, terpaksa makan lagi sebab nak jaga hati isteri. Tidak. Saya sudah kata, ini bukan cerita peribadi saya. Dua kisah ini saya jumpa di internet. Ini hanya satu contoh apa yang saya percaya banyak berlaku dalam masyarakat kita.

Seorang kawan – lelaki – yang selalu ‘berurusan’ dengan wanita pernah mengadu kepada saya: “Orang perempuan ni memang susah nak faham. Buat A dikata B, bila kita buat B dikata A
pulak. Ada saja yang tak kena pada depa!”

Mengingat rungutan kawan itu, dua hari lepas, saya lontar dalam FB satu tajuk: Berurusan dengan orang perempuan dalam apa juga bidang – sosial, peribadi atau kerjaya – selalunya lebih
rumit berbanding lelaki.

Bincangkan. Ketika menaip tajuk itu, saya jangka akan diserang hebat namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Maklum balas memang banyak – seperti yang dijangka – tetapi yang
tidak dijangka ialah begitu ramai wanita yang bersetuju dengan saya.

Hanya segelintir yang skeptikal dan menganggap saya seksis. Dalam banyak keadaan, saya boleh akui wanita sebenarnya lebih cekap memerangkap lelaki. Ini kerana wanita sememangnya bijak mengeksploitasi apa yang ada pada diri mereka, termasuk cerita mengenai kelemahan dan air mata untuk mendapat apa yang dihajati.

Jika boleh dikatakan persamaan, ramai wanita ada kebolehan dan kemahuan yang kuat untuk melindungi diri apabila berada dalam situasi tersepit. Jarang yang mudah mahu mengaku bersalah atau meminta maaf. Barang kali ini kerana keadaan diri mereka yang mempunyai aset kekuatan dalam kelembutan, mereka tahu akhirnya lelaki akan mengalah juga.

Inilah rumitnya berurusan dengan wanita. Meskipun pada hakikatnya mereka bersalah tetapi mereka seboleh mungkin akan berusaha melindungi kesalahan itu dengan berbagai-bagai jenis belitan – seperti belitan fesyen tudung terkini – yang akhirnya membuatkan lelaki sendiri rasa bersalah.

Dalam keadaan ini, masih relevankah nisbah 1:9 bagi akal: nafsu wanita seperti yang diajar datuk nenek dahulu?


Sumber : Sinar Harian

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...