Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata sebagai umat Islam mereka perlu yakin kiamat pasti berlaku pada Jumaat, namun bila tarikhnya itu adalah rahsia Allah. Katanya, hanya Allah SWT saja yang mengetahui bila tibanya hari itu seperti dijanjikan-Nya. Jadi beliau menggesa umat Islam supaya tidak terpengaruh atau mempercayai ramalan bahawa kiamat akan berlaku Jumaat ini. Jelas beliau lagi, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk mempersiapkan diri menghadapi kiamat ataupun hari pembalasan, tetapi tidak perlu meramalkan bila ia akan berlaku.
“Tanda-tanda kiamat yang besar dan kecil
sudah dinyatakan sebagai persiapan untuk manusia menghadapinya. Kiamat
ada dua iaitu kiamat kecil dan kiamat besar, kiamat kecil yakni
kematian. Setiap manusia akan menghadapinya. Mengapa kita sibuk meramal
tarikh kiamat, sepatutnya kita perlu sibuk untuk mempersiapkan diri bagi
menghadapi kiamat kerana ia bakal terjadi. Ia adalah perkara ghaib yang
mana hanya Allah SWT saja mengetahuinya. Bahkan Nabi Muhammad SAW
bersabda, kalau dengar langit hendak runtuh (kiamat) tetapi di tangan
masih ada benih (tanaman), maka tanamlah benih itu,” katanya dalam
laporan BH Online hari ini.
Mohamad Shukri berkata, jika umat Islam mempercayai ramalan kiamat, bermakna mereka mencampuri urusan Allah SWT.
“Usahlah kita meramalkan bila kiamat akan berlaku sebaliknya menggandakan lagi amal ibadat bagi menghadapi kiamat,” katanya.
0 comments:
Post a Comment